MEI 2022

Segerakan Perumahan Mampu Milik Di Satok


KUCHING: Sebuah kawasan perumahan mampu milik baharu perlu dibangunkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok dengan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki berkata, ia bagi menempatkan penduduk dengan kos pemilikan rumah yang sedia ada melambung tinggi. 

Ini termasuk melaksanakan Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS), katanya.

Menurut Ibrahim, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mewakili DUN Satok telah mengenal pasti kawasan Sungai Maong dan Segedup untuk membina kawasan perumahan mampu milik. 

“Oleh itu, saya mohon agar pelaksanaannya dapat disegerakan demi kepentingan rakyat di kawasan Satok,” katanya dalam sesi perbahasan Ucapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semasa persidangan DUN Sarawak.

Ibrahim yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, kawasan Satok berada di tengah bandar dan menjadi perantara bagi kawasan Petra Jaya dan bandar Kuching, sudah tentu masalah yang timbul adalah kesesakan lalu lintas. Ini terutamanya ketika waktu kemuncak.

“Untuk mengelak masalah ini berterusan dengan pembangunan pesat dan pertambahan lalu lintas, dan sebelum masalah ini menjadi kronik, saya mencadangkan agar kerajaan meneliti keperluan bagi membina laluan bawah tanah atau jejambat di kawasan strategik.

“Membina jambatan untuk melicinkan saluran dan perjalanan trafik selari dengan pelan menaik taraf pembangunan di kawasan Satok dan sekitarnya,” katanya.

Beliau yakin projek pembangunan yang direncanakan dapat dilaksanakan dengan jayanya, agar keharmonian dan kestabilan dinikmati warga Satok.

“Saya percaya kawasan Satok, dengan penghuni dari pelbagai kaum, agama dan budaya, adalah salah satu contoh perpaduan dan keharmonian di Sarawak. Saya berdoa dan harap nilai seperti bertolak ansur, hormat menghormati dapat kita kekalkan untuk generasi masa hadapan,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti